Di email peribadi : sekadar perkongsian
Assalamualaikum
Dan Salam Sejahtera,
Minggu lalu, ketika menjamah makanan makan malam di
sebuah restoran semasa dalam perjalanan ke airport, rakan-rakan yang bersama
menghantar saya berbicara berkenaan pelbagai isu.
Hj Rosman kemudian
menzahirkan kebimbangan beliau berkenaan kes jenayah yang wujud di
Malaysia .
Kes-kes sedemikian agak kurang berlaku di
Bahrain .
Natijah dari kebimbangan tersebut, beliau bertanya
"pada pandangan ustaz, macam mana cara untuk
selesaikan masalah ini"
Saya berfikir sejenak, sudah tentulah jawapan
paling mudah bagi seorang ustaz adalah berkata
"kita kena kembali kepada Islam"
Tetapi disebabkan jawapan itu terlalu umum, maka
saya mengambil keputusan untuk tidak memberikan idea itu.
"Ia perlukan penyelesaian secara kolektif, semua
pihak perlu ada kesedaran untuk merubah keadaan" demikian jawapan
permulaan saya.
"Namun yang paling utama perlu berperanan, adalah
ibu bapa atau keluarga"
Saya mengulang kembali ingatan sedih dan pedih kita
kepada kes Al-Marhumah Nurin Jazlin yang dibunuh kejam dan masih gagal
diselesaikan oleh pihak berkuasa
Malaysia sehingga kini.
"Bukankah Nurin dibunuh oleh seorang manusia?,
sudah tentunya manusia ini dilahirkan ke dunia oleh seorang ibu dan pastinya
dia punyai bapa dan keluarga"
"Namun apakah yang menjadikannya sebegitu
kejam?" saya menerang sambil mengajak berfikir.
Memang benar, pelbagai faktor menyumbang, namun bagi
saya ia bermula dari hasil didikan pertama ibubapa, sesuai dengan apa yang
disabdakan oleh nabi s.a.w
"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah
(tidak mempersekutukan Allah) tetapi orang tuanya lah yang menjadikan dia
seorang yahudi atau nasrani atau majusi. Sebagaimana seekor binatang yang
melahirkan seekor anak tanpa cacat, apakah kamu merasakan terdapat yang
terpotong hidungnya? (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Sudah tentu juga ibubapa yang berperanan untuk
mencorakkan seorang bayi sehingga menjadi seorang Muslim, mukmin yang
bertaqwa.
Kita tidak nafikan faktor persekitaran yang sentiasa
menghurungi anak-anak kita khususnya di sekolah, melalui internet,
rakan-rakan, games, TV dan lainnya.
JANGAN DIDIK ANAK SECARA SPONTAN
Namun tidak boleh dinafikan, ibubapa mempunyai saham
terbesar. Anak-anak adalah satu tugas terbesar buat ibubapa yang sering
diabaikan. Sedangkan mereka semua adalah suatu aset dan ‘pelaburan'
terpenting. Namun amat kerap mereka menjadi mangsa kurang teliti, kurang perhatian
dan tiada perancangan jitu oleh sang ibubapa.
Akhirnya, sebuah aset yang ditangani secara lebih
kurang akan menghasilkan hasil yang bukan lebih kurang juga, tetapi hasil
lebih buruk malah membawa padah.
Memang benar, kegagalan merancang pendidikan anak-anak
adalah sebuah kegagalan masa depan.
Ramai yang merasakan, pendidikan anak-anak boleh
dibuat secara spontan, bergantung kepada hari dan masa. Dalam kata lain,
bergantung kepada keadaan.
Hakikatnya, anak tidak boleh dididik secara spontan,
ia memerlukan satu pelan perancangan khas untuk menjadikan lebih mudah
dibentuk. Mendidik mereka seperti mengendalikan sebuah syarikat awam yang
sentiasa memerlukan plan induk, teknik khas, contingency plan dan monitoring
system.
Kerana itu kita perlukan seorang Chief Operating
Officer (COO) untuk anak-anak. Menurut teori ideal Islam, COO yang paling
ideal bagi pendidikan anak-anak adalah seorang IBU. Bapa bertindak sebagai
Chief Executive Officer (CEO) yang mana, ruang lingkup tugasan, peranan dan
tanggungjawabnya lebih besar dan menyeluruh.
"Namun apabila hari ini kedua-dua ibubapa sibuk
mencari nafkah, aset di rumah terabai dek kerana pendapatan RM 2,000 (purata)
atau RM 5,000 sebulan si ibu". Anak-anak diswastakan kepada nursery yang
kurang pengalaman. Kurang penghayatan, kurang sensitiviti dan seumpamanya.
Kita boleh menghantar mereka ke pelbagai jenis kursus
dan kem untuk menyuntik sesuatu, namun pokok pangkalnya tetap di atas bahu
kita selaku ibubapa. Kalaupun anak telah berubah hasil tarbiyah di dalam
kursus, mereka akan tetap melupakan nilai baik tersebut jika ibu bapa masih
di takuk lama.
WAHAI IBUBAPA, HORMATI ANAKMU NESCAYA
KAMU DIHORMATINYA
"Treat your child with respect" itu saranan
Richard Templer, penulis buku parenting yang popular.
Saya amat selesa dengan saranan tersebut, seorang
ibubapa yang bijak perlu mengendalikan dan melayan anak-anak mereka dengan
penuh penghormatan. Kelak anak-anak akan mencontohi tatacara yang sama.
Biasanya apabila orang dewasa meminta bantuan seorang
dewasa yang lain, mereka akan menggunakan bahasa yang sopan. Itu adalah
kerana mereka sedar, yang diminta itu tidak mesti untuk membantu, kita
perlukan ihsan mereka untuk membantu. Atas sebab itu, kata-kata sopan
digunakan, demi memujuk dan mearih ihsan.
Bukankah elok jika cara yang sama untuk anak-anak
kita, cuba
kita jangan merasakan si anak sentiasa WAJIB untuk mematuhi arahan kita.
Kelak nanti si anak apabila meminta kepada ibubapanya atau orang lain,
dirasakan mereka semua wajib menurut arahannya.
Si anak juga kerap meminta ibubapanya, mainan itu dan
ini. Namun sedikit yang diperolehi.
Maka si anak akan menghadapi kekeliruan.
"ibubapa minta, semua aku kena buat, aku minta,
ibubapa tak buat semua pulak"
Lebih teruk dari itu, arahan dari ibubapa kerap
dihamburkan dengan kata-kata perintah tanpa hormat dan pujukan serta ihsan.
Contohnya:
"makan tu"
"Habiskan ini!"
"Pergi mandi!"
"Cepat masuk kereta!"
"Gosok gigi!"
"Kenapa sepah sangat ni, cepat bersihkan!"
"Heiii, kenapa buat macam tu!"
Itulah yang kerap dilaungkan oleh ibubapa, memekik
melolong setiap pagi dan petang serta malam.
Setiap hari anak akan mendengar lolongan kuat menerjah
telinga dan hatinya. Kalimah-kaalimah arahan dan larangan sebegitu sudah
terlalu biasa, lali hingga ia menjadi masak dan sebati dek pemikiran dan
hatinya.
Pada masa yang sama, kita akan dengar kedapatan
ibubapa yang mengeluh kerana anaknya kurang beradab ketika remaja dan dewasa.
Sedarkah bahawa si anak sebenarnya telah ‘berjaya'. Ya berjaya dalam
mencontohi model yang diterapkan oleh ibubapanya sendiri. Namun kini ibubapa
merasa sedih dan tidak selesa. Sedarkah ibubapa bahawa si anak yang
dibesarkan sedemikian rupa menyangka itulah cara arahan dan permintaan yang
terbaik. Bukankah itu yang ditunjukkan oleh ibubapa mereka?.
Justeru, lebih kasar sang ibubapa terhadap anaknya,
akan kasar jualah anak terhadap ibubapanya dan orang lain, khususnya di
ketika remaja dan dewasa. Malah lebih mendukacitakan, itulah cara yang
akan dibawa ke sekolah, mempengaruhi kawan-kawan dan akhirnya menjadi
penjenayah yang merasakan tindakannya ‘ok' atau tidak bersalah.
Puncanya dari cara didikan dan layanan ibubapa yang kasar.
Patut kita sedari di awal bulan hijrah ini,
bahawa anak layak mendapat sebuah penghormatan, semudah-mudah penghormatan
adalah dengan memilih ayat dan kata-kata yang manis didengari, intonasi yang
sedap didengar. Cuba
tambah sikit sahaja sebagai contoh
"boleh tolong ibu ambilkan barang itu"
"Adik baikkan, tolong ummi kemaskan meja ini
boleh?"
Dan pelbagai lagi bentuk ayat yang serupa dengannya.
Di samping itu, jangan sesekali memungkiri janji,,
membohongi anak dan lain-lain kelakuan negaitf. Selain anak akan mengambil
contoh, mereka juga akan merasa kurang penting berbanding yang lain.
TUNJUKKAN PERHARGAAN TERHADAPNYA
Juga menjadi kebiasaan ibubapa hari ini. Bangun sahaja
anak dari tidur dan terus dia menghala ke dapur.
Ibu yang terlihat anak, ayat pertamanya :
"hah apa lagi tu, dah gosok gigi, pergi basuh
muka dan gosok gigi!"
"Lepas tu pergi buat itu ini bla la bla"
"Mak boleh tolong angah buat kerja ini tak"
pinta si anak lembut
"Ehhh nanti-nanti!, mak tengah sibuk goreng ayam
ini" mungkin itu jawapan si ibu.
Terasa dalam hati si anak, dirinya ibarat tidak
berharga, kemunculannya hanya bersedia untuk diarah dan ditengking.
Permintaan tidak banyak erti buat si ibu,
‘gorengan ayam lebih utama dari perminataannya.
Malah ketika pulang dari sekolah juga, ibubapa tidak
menyambut tetapi dibiarkan anak begitu sahaja.
Tahap si anak ibarat sebuah perabot buruk dan pekakas
rumah sahaja. Wujudnya tidak disedari, hilangnya tidak diendah.
Pastinya, anak akan menyimpan itu sebagai standard
kehidupan. Nanti kelak itu jugalah yang diperlakukan di masa hadapan.
Kalau ada perhatian dari ibubapa, mungkin hanya
perintah demi perintah, larangan demi larangan sahaja.
Justeru, sudah sampai masa kita mengubahnya, kita
berhijrah.
Sedarilah bahawa, tatkala kita sedang melakukan
tugasan harian di rumah, mengemas baju, memasak dan sebagainya, tatkala anak
muncul, anak punyai priority yang lebih tinggi. Jangan dijadikan alasan,
tengah buat kerja, basuh baju, gosok baju, jahit baju dan lainnya, kerana
tatkala anak muncul, itulah kerja yang paling besar keutamaannya untuk
dipenuhi.
Tunjukkan rasa seronok dan gembira kita selaku ibubapa
ketika melihatnya, sewaktu pulang dari sekolah (atau sewaktu kita pulang dari
kerja), melihatnya di awal pagi dan berpisah dengannya ketika waktu malam
untuk tidur. Ia boleh dilakukan dengan ucapan-ucapan yang baik, atau sedikit
pelukan dan sentuhan tanda mereka penting buat kita.
KESIMPULAN
Semoga dengan sedikit peringatan untuk diri ini, kita
semua mampu berubah menjadi ibubapa yang berperancangan dan memperbaiki
pendidikan anak-anak.
Kerana anak-anak itulah kelak bakal menjadi sama ada
Imam besar, Pemimpin Negara, Ulama Besar, atau sebaliknya menjadi perompak
terulung, penjenayah bersiri dan pengkorup unggul. Nauzubillah.
Perbaikilah masyarakat kita melalui kesedaran peranan
ibubapa.
Jenayah hakikatnya bermula dari rumah dan perlu ditangani bermula di
rumah juga.
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment